::| TUGASAN 2 |::


SENI ANYAMAN TRADISI MELAYU

Menurut Wan Abdul Kadir Wan Yusof (1997:128), kreativiti orang Melayu kini boleh digolongkan dalam dua kategori iaitu seni rupa dan seni persembahan. Seni rupa ialah bentuk kesenian yang hasilnya menjadi artifak atau bahan untuk dinikmati oleh semua. Oleh itu, seni anyaman juga merupakan salah satu jenis seni yang termasuk dalam seni rupa tradisi Melayu. Anyaman adalah salah satu seni yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan masyarakat Melayu khususnya. Ia merupakan satu proses menjalin atau menjaring-jaringkan bahan-bahan yang khusus  dalam anyaman dengan menggunakan cara dan peraturan yang tertentu melalui teknik selang selikan helaian tersebut antara satu sama lain. Justeru itulah, seni anyaman merupakan sejenis kraftangan yang sedikit rumit dan ianya memerlukan kesungguhan, kesabaran, ketekunan dan kecekalan dalam menghasilkan reka cipta yang unik, idea yang asli dan dapat mengekalkan budaya dan kesenian Melayu yang asli. Kehalusan seni anyaman di Malaysia adalah berlainan dengan ciri-ciri anyaman lain yang didatangkan dari luar Malaysia.

Hasil seni anyaman di Malaysia kebanyakannya terdiri daripada alatan untuk kegunaan harian seperti tikar, bakul, bekas serbaguna, tudung saji, topi, tabung duit, pengayak, dulang, sudip, penapis dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga hasilan seni anyaman yang dihasilkan bagi memenuhi citarasa semasa seperti beg tangan, perabot, bingkai cermin, bakul buah, terompah, penghadang, barang hiasan dinding dan sebagainya. Seni anyaman ini terdapat dalam pelbagai jenis anyaman yang menggunakan bahan yang berlainan. Jenis-jenis anyaman ini terdiri daripada anyaman pandan dan mengkuang, anyaman buluh, anyaman ribu-ribu, anyaman lidi dan anyaman rotan.

·         Seni Anyaman Pandan dan Mengkuang

Terdapat pelbagai barangan boleh dihasilkan daripada seni anyaman pandan dan mengkuang. Justeru itu, kebiasaannya mengkuang akan digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada daun pandan. Namun demikian, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan. Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja iaitu di mana lebih kecil bilah maka lebih halus hasil kerjanya. Contoh seni anyaman yang menggunakan daun mengkuang ialah tikar dan tudung saji manakala seni anyaman daripada pandan pula seperti tikar sembahyang dan hiasan dinding.

   
         
Rajah 1: Hasil Anyaman Mengkuang



 


Rajah 2: Hasil Anyaman Pandan

·         Seni Anyaman Buluh

Bagi masyarakat peribumi di Nusantara, buluh mempunyai seribu satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Antara hasil seni anyaman yang diperbuat daripada buluh pula termasuklah bakul, dulang dan tudung saji.
 


Rajah 3: Hasil Anyaman Buluh


·         Seni Anyaman Ribu-ribu

Anyaman ribu-ribu dihasilkan daripada sejenis paku pakis yang dikenali sebagai ribu-ribu. Ribu-ribu adalah paku pakis yang hidup meliar terutama di kawasan belukar yang lembap. Pada masa dahulu, ribu-ribu digunakan sebagai bahan utama untuk dijadikan tali. Di negeri Terengganu pula, kebanyakan rumah menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung kerana tali jenis ini dikatakan lebih tahan lama. Tetapi kini, kegunaan ribu-ribu dikatakan agak terbatas kepada hasil kraftangan sahaja. Antara barang-barang yag diperbuat daripada ribu-ribu ialah bekas tembakau, serkap ikan, bekas sirih terbus, bakul, bekas serba guna, terendak dan dompet seperti mana gambarajah di bawah.

             


Rajah 4: Proses Penghasilan Anyaman Ribu-Ribu


  


Rajah 5: Hasil Anyaman ribu-ribu

·         Seni Anyaman Lidi

Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok kelapa adalah lidi yang dikenali sebagai anyaman lidi. Sebenarnya terdapat pelbagai jenis barangan boleh dihasilkan daripada lidi kelapa. Antara barang dan peralatan yang dihasilkan melalui seni anyaman lidi ini terdiri daripada bakul, lekar, bekas buah-buahan, tempat menyimpan telur dan raga gubahan bunga.


       


Rajah 6: Hasil Anyaman Lidi

·         Seni Anyaman Rotan

Anyaman ini dihasilkan daripada pelbagai jenis rotan yang ditumbuh di hutan secara meliar. Tetapi daripada puluhan jenis rotan yang ada, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk pembuatan perabot dan juga hasil anyaman. Terdapat pelbagai jenis barang dan peralatan yang boleh dihasilkan daripada anyaman rotan ini. Antara hasil seni kraftangan anyaman rotan termasuk bakal, lekar, raga, kerusi. Selain itu juga seni anyaman rotan juga digunakan dalam menghasilkan alat permainan tradisional seperti bola sepak raga. Kini seni anyaman rotan semakin popular sebagai kelarai perhiasan seperti terendak lampu.

         
  

Rajah 7: Hasil Anyaman Rotan

            Secara kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa anyaman merupakan salah satu warisan seni rupa tradisi yang dimiliki oleh masyarakat tradisi Melayu yang dilihat kaya dengan nilai-nilai keaslian  dan keunikannya yang tersendiri.


SUMBER RUJUKAN:

Wan Abdul Kadir Wan Yusof. (1997). Seni dan Kosmologi:Kosmologi Islam dalam Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

____________________. Anyaman. Diperolehi pada Oktober 17, 2010 daripada http://www.angelfire.com/art2/anie0/index2.html

Perpustakaan Negara Malaysia. Warisan Budaya Malaysia. Diperolehi pada Oktober 17, 2010 daripada http://malaysiana.pnm.my/04/0401anyam1_sejarah.htm

____________________. Anyaman. Diperolehi pada Oktober 17, 2010 daripada http://members.fortunecity.com/hazaki/anyaman_pandan.html